Malek Bennabi
Pemikir kotemporari dunia Islam abad ke-20
![]() |
Malek Bennabi |
Lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dan warak pada tahun 1905 di Constantine menjadikan beliau satu-satunya anak lelaki selepas tiga orang kakak.
Bennabi berasal dari keluarga Muslim imigran. Ibunya berasal dari wilayah Tripoli, Libya. Ketika menetap di Eropah, beliau mengahwini wanita Perancis. Sebagai seorang jurutera elektrik, beliau juga mempunyai pengetahuan yang cukup luas mengenai budaya dan peradaban Barat.
Kemahiran ilmunya dalam bidang saintifik berpadu dengan pandangannya dalam bidang sosial, sejarah dan falsafah membawa kepada terhasilnya sebuah strategi pemikiran, gagasan idea dan teori peradaban bagi menghadapi masalah ketinggalan dan kemunduran masyarakat Islam ketika zamannya. Setelah dua tahun mengerjakan ibadah haji, beliaumenghembuskan nafas terakhir di tanah kelahirannya pada tahun 1973.
Semenjak kecil, neneknya berperanan besar dalam pembentukan pemikiran dan latar belakang yang berbudaya menerusi cerita-cerita yang sering disampaikan. Mempelajari al-Quran di sekolah tradisional sebagai pendidikan awal sebelum ke pengajian formal Sekolah Rendah Perancis yang didirikan penjajah Perancis di Algeria. Memanfatkan masa cuti sekolah dengan menghadiri pengajian agama dan Bahasa Arab dengan beberapa tokoh ulama antaranya Syeikh Abdul Majid.
Berpeluang melanjutkan pengajian di Perancis pada tahun 1930 dalam bidang sains kejuruteraan. Beliau menyedari kemajuan Eropah disebabkan penguasaan sains dan umat Islam ketinggalan dalam menguasainya. Ketika menerap di Kaherah, Mesir beliau mendalami limu sosiologi, falsafah, peradaban, sejarah, sastera dan agama.
Faktor perkembangan keadaan semasa mengubah segalanya biar pun pada awalnya Bennabi tidak berhasrat untuk menjadi ahli falsafah. Keadaan ketika itu memberi kesan kepada peribadi beliau dan memanfaatkan pengalaman itu sebagai inspirasi dalam memperjuangkan Islam dan meningkatkan kesatuan ummah dan bangsa.
Bennabi telah berjaya menghasilkan sebanyak 18 karya penulisan samada dalam bahasa Arab dan bahasa Perancis. Antara karya-karya Bennabi yang terpenting ialah al-Zahirah al-Quraniyah - Fenomena al-Quran (1946), Shurut al-Nahdah - Prasyarat Kebangkitan (1948), Wijhah al-'Alam al-Islami - Masa Depan Dunia Islam (1954), Mushkilat al-Thaqafah - Kemelut Kebudayaan (1959), al-Fikrah al- Ifriqiyyah al-Asiawiyyah fi daw’ Mu’tamar Bandung - Pemikiran Asia Afrika dalam Perspektif Persidangan Bandung (1960), Milad Mujtama’ - Kelahiran Masyarakat (1962) dan Mushkilat al-Afkar fi al-’Alam al-Islami - Kekalutan Pemikiran di Dunia Islam (1971).
Banyak faktor yang menyumbang kepada kelahiran idea dan teori peradaban Bennabi. Tentunya faktor dominan yang mewarnai corak pemikiran beliau lahir dari pelbagai sudut antaranya latar belakang keluarga - kemiskinan, beragama dan pendidikan - mendorong beliau untuk membantu keluarga, menyambung pengajian dan berkhidmat untuk masyarakat.
Faktor ekonomi dan sosial masyarakat disaksikan sejak dari kecil dan sangat memahami penderitaan dan kesusahan yang dihadapi seluruh Algeria. Tradisi dan budaya tidak sihat yang dibawa penjajah turut diamalkan masyarakat sehingga mengubah pola hidup asal masyarakat Algeria kepada gaya hidup bebas bawaan Perancis.
Penyakit sosial yang melanda masyarakatnya telah mendorong Bennabi melahirkan idea peradaban menerusi kenyataannya "masalah sebarang orang hanya daripada tamadunnya", iaitu permulaan masalah yang melanda masyarakat. Maka Bennabi bersemangat untuk mengkaji fenomena ini.
Keberadaan Bennabi di Perancis juga mencetuskan faktor perkembangan pemikirannya. Di Eropah beliau mempelajari tentang aspek sosial, nilai estetika, dan kemajuan ilmu dan teknologi yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Faktor Perancis dan peradaban Barat pada sisi positif banyak diilhami beliau. Bennabi sendiri terdidik dengan nilai kebersihan, disiplin, kerapian, keindahan dan seni kraftangan yang dicetuskan sendiri oleh isteri yang dikahwininya pada tahun 1931 - Khadijah, gadis Perancis.
Bennabi juga berhadapan dengan faktor fenomena penjajahan yang dilihat beliau sebagai usaha pembodohan dari luar yang menekan masyarakatnya. Penjajah menekan sebarang usaha untuk penambahbaikan. Faktor penjajahan ini menjadi agenda penting dalam proses kematangan pemikiran Bennabi. Dari itu beliau mempelajari asal-usul penjajahan dam mengamati pelbagai tanggapan dan pergerakan kebangsaan dalam melawan penjajahan.
Sumber ilmiah, pemerhatian dan pengamatan adalah faktor intelektual yang mencetuskan pemikiran unik Bennabi. Kedua-dua sekolah di al-Kuttab dan Sekolah Rendah Perancis memberi erti yang besar buat dirinya sewaktu kecil sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Di Madrasah Constantine, beliau diajar oleh Syeikh Maulud bin Mauhub dengan ilmu Tauhid, Sirah Hidup Rasulullah S.A.W dan Sejarah Pembaharuan Pergerakan Islam. Syeikh al-Abid pula mengajar beliau ilmu Fiqh. Guru-guru Bennabi berbangsa Perancis terutamanya Monsieur Martin, mengajar beliau kekuatan ekspresi bahasa dan menanamkan pada dirinya semangat membaca. Manakala Bobreiter mengajar beliau kaedah berfikir secara Descartes, iaitu cara berfikir secara metodologi dan ilmiah.
Selain sekolah dan pengajian kuliah, kedai kopi juga merupakan tempat belajar Bennabi. Kedai kopi Ben Yamina menjadi tempat belajar luar sekolah. Bennabi sering bertemu dan bertukar-tukar fikiran dengan anak-anak murid Sheikh Abdul Hamid Badis. Beliau dapat mengenali pemikiran-pemikiran pembaharuan yang dibawa guru tersebut daripada mereka semua. Bennabi juga sangat kagum dan terinspirasi dengan karya Ibnu Khaldun - Muqaddimah.
Gagasan idea dan teori pembentukan peradaban menurut Bennabi terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu ;
- Faktor Utama Pembentukan Peradaban: Manusia, Tanah dan Waktu
- Konsep Tiga Alam dalam Pembentukan Peradaban
- Kitaran dan Garis Masa Peradaban
- Alam benda dalam diri individu dan masyarakat
- Alam manusia dalam diri individu dan masyarakat
- Alam idea dalam diri individu dan masyarakat
- Fasa pra-peradaban
- Fasa peradaban meliputi Fasa Roh, Fasa Fasa Akal dan Fasa Naluri
- Fasa pasca-peradaban
- Merumuskan persoalan utama masalah peradaban Islam iaitu kemiskinan idea
- Mengetahui kedudukan umat Islam dalam konteks kitaran sejarah
- Merumuskan kembali jati diri manusia dan meletakkannya ke dalam posisi seimbang
- Berusaha membangunkan kembali kebudayaan Muslim dengan cara mencari dan menyelongkari warisan gagasan kaum Muslimin
Baca selengkapnya biografi Malek Bennabi
Bacaan pilihan : Serbuk Al-Manna Gum Arabic
Labels: Malek Bennabi, Nota Inspirasi Huda, Tokoh
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home